Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa
golongan B40 yang telah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan golongan
M40 yang telah mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDNM tidak perlu
membuat pendaftaran bagi permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Ini kerana penerima BSH layak menerima BPN secara automatik manakala golongan
M40 yang mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDNM pula akan dinilai
berdasarkan jumlah pendapatan dan kriteria lain yang telah ditetapkan oleh
Kerajaan.
Semakan status penerimaan BPN boleh dilakukan secara dalam talian mulai 01
April 2020 dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my. Sekiranya status semakan adalah ‘tiada rekod’, orang
ramai boleh membuat permohonan baharu dengan klik butang ‘Permohonan Baru’.
Permohonan baharu secara dalam talian adalah dibuka sehingga 30 April
2020.
Orang ramai hanya perlu mengikuti langkah mudah seperti berikut untuk semakan
penerimaan BPN:
i. Masukkan Nombor Kad Pengenalan (No I/C);
ii. Masukkan kod captcha yang diberikan; dan
iii. Keputusan akan dipaparkan.
Orang ramai diingatkan bahawa tiada permohonan secara manual menggunakan borang setakat ini memandangkan semua premis LHDNM ditutup sementara sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
Sementara itu, bagi permohonan yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian
dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my bermula 03 April 2020.
Memandangkan trafik capaian ke portal-portal rasmi yang dinyatakan di atas adalah
amat tinggi buat masa ini, orang ramai mungkin menghadapi kesukaran untuk
membuat semakan. Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan di luar
waktu puncak. Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali. Untuk rekod, bayaran
BPN akan dilakukan secara berperingkat pada bulan April dan Mei 2020.