Berita baik untuk rakyat Malaysia yang ingin pulang ke rumah masing-masing dari kampung. Anda boleh mendaftar diri melalui aplikasi Gerak Malaysia bermula 25 April ini. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Galeri.

Bagaimanapun menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei setelah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini bermakna keputusan permohonan anda akan diproses dan ditapis oleh MKN dan KKM serta keputusan akan keluar selepas 1 Mei 2020.

Jika kawasan anda tidak mempunyai capaian internet yang baik dan pantas anda boleh membuat permohonan di balai polis berdekatan dengan syarat membuat temu janji terlebih dahulu.

Menurut Menteri Kanan lagi, kajian akan dilakukan berdasarkan permohonan yang diterima. Prosedur Operasi Sandard (SOP) yang ketat akan diperkenalkan untuk memastikan pergerakan rakyat adalah selamat.

Aplikasi Gerak Malaysia ini dibangunkan oleh PDRM dan SKMM.

Bagi yang membuat permohonan pada 26 April, anda hendaklah membuat kemaskini permohonan pada 29 April 2020 untuk mengesahkan destinasi perjalanan. Seterusnya pada 1 Mei 2020, anda boleh menyemak status permohonan yang dibuat atas talian tersebut.

Tempoh pergerakan antara negeri yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei 2020 dan pengguna jalan raya dikehendaki merancang perjalanan mereka mengikut perjalanan yang ditetapkan.

Bagi mereka yang menggunakan Lebuh Raya PLUS, anda adalah diingatkan :

  1. Tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (RnR)
  2. Surau-surau akan ditutup dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti solat secara berjemaah di kawasan RnR, termasuklah di dalam mana-mana bangunan, kawasan lapang, tempat letak kenderaan atau lain-lain
  3. Hanya fasiliti tandas awam sahaja yang dibenarkan beroperasi
  4. Kawasan tempat letak kenderaan hanya boleh digunakan untuk tempat berehat dan anda tidak dibenarkan keluar dari kereta melainkan hanya untuk ke tandas.
  5. Stesen Minyak hanya akan beroperasi antara jam 6 pagi hingga jam 12 tengah malam di sepanjang lebuh raya
  6. Di larang melakukan sebarang aktiviti secara berkumpulan di dalam tempoh kebenaran perjalanan tersebut.

 

Untuk makluman Kerajaan juga ada membangunkan aplikasi MySejahtera untuk memberi info terkini berkenaan wabak COVID-19 ini.

MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Pada masa yang sama, ianya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.

Aplikasi MySejahtera memberikan kemudahan untuk:

  • Membantu Kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan seterusnya menangani wabak COVID -19
  • Membantu individu mengenalpasti tahap kesihatan mereka sepanjang penularan wabak COVID -19
  • Membantu individu mendapatkan bantuan kesihatan dan tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti COVID -19
  • Membantu individu mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan COVID -19