7 Tips Menghadiri Temuduga

  Perasaan bimbang dan gementar sebelum menghadiri temuduga adalah sesuatu yang normal. Perasaan ini bukanlah sesuatu yang tidak baik selagi mana anda dapat mengawalnya. Perasaan bimbang hadir disebabkan kerana anda sendiri kurang bersedia dari segi fizikal, mental dan juga ilmu untuk menghadapi temuduga. Sekiranya anda akan menghadiri temuduga tidak lama lagi, artikel tips menghadiri temuduga ini adalah khas untuk anda.

Terdapat beberapa perkara yang anda perlu ambil tahu sebelum menghadiri temuduga. Ini adalah penting untuk meningkatkan keyakinan diri anda sebelum anda berhadapan dengan penemuduga untuk sesi temuduga.

1. Persiapkan Dokumen

Perkara pertama yang anda perlu siapkan sebelum menghadiri temuduga adalah dari segi penyediaan dokumen yang berkaitan. Sediakan satu fail khas untuk mengisi semua dokumen berkaitan seperti sijil-sijil kelayakan anda serta salinan resume anda. Fail ini akan memudahkan penemuduga untuk menyemak kelayakan anda dan menunjukkan bahawa diri anda seorang yang sentiasa bersedia dan sistematik.

2. Ketahui latar belakang syarikat

Sebelum anda menghadiri temuduga, pastikan anda sudah membuat sedikit semakan dan kajian berkenaan latar belakang syarikat. Ini adalah sangat penting untuk mengenalpasti bagaimana syarikat tersebut beroperasi dan juga memberikan gambaran awal tentang bagaimana bentuk pekerja yang diperlukan.

Sifat proaktif ini juga akan membuatkan anda lebih mengenali bakal majikan anda dan seterusnya anda memahami jawatan yang ditawarkan. Selain itu juga, ini akan memudahkan anda untuk menjawab soalan-soalan temuduga yang berkaitan dengan syarikat tersebut.

3. Tingkatkan Pengetahuan Am

Bakal majikan anda bukan hanya perlukan pekerja yang berkemahiran, tetapi juga memerlukan pekerja yang mempunyai pandangan dan pengetahuan yang luas terutamanya yang melibatkan isu-isu semasa. Pastikan anda tahu perkembangan berita semasa terutamanya yang berkaitan dengan dengan jawatan yang anda mohon.

4. Tidur awal

Ramai yang sanggup tidak tidur malam sebelum temuduga atas alasan ingin membuat ulangkaji soalan temuduga. Perbuatan ini sebenarnya kurang baik untuk diri anda. Pasti anda tidak mahu kelihatan letih dan lesu di hadapan penemuduga kerana ini akan memberikan pandangan yang kurang baik kepada diri anda.

Jika anda dipanggil untuk menghadiri temuduga, pastikan anda mendapat tidur yang secukupnya untuk memastikan anda sentiasa segar dan cergas semasa menghadiri sesi temuduga.

5. Penampilan Diri

Perkara pertama yang dilihat pada diri anda sebelum anda menuturkan perkataan pertama adalah penampilan diri andan. Pastikan penampilan anda semasa menghadiri sesi temuduga adalah yang sopan serta menepati kriteria jawatan yang dimohon. Sebaik-baiknya pakailah pakaian yang rasmi tidak kira lelaki atau perempuan.Dilarang sama sekali untuk memakai pakaian yang terlalu berfesyen dan menjolok mata.

Penampilan diri yang baik akan memberikan pandangan positif kepada keperibadian anda disamping dapat menambahkan keyakinan anda untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan semasa sesi temuduga.

6. Datang awal

Sila pastikan anda sampai ke tempat temuduga sekurang-kurangnya 30 minit sebelum proses temuduga dijalankan. Ini adalah penting untuk menunjukkan anda seorang yang menghargai masa dan dalam masa yang sama dapat menghilangkan rasa gemuruh untuk menghadapi temuduga.

Datang awal juga membolehkan anda menenangkan diri dan membiasakan diri dengan keadaan persekitaran.

7. Doa dan Keberkatan

Bagi seorang Muslim, senjata yang paling ampuh adalah doa. Pastikan sebelum anda melangkah masuk ke bilik temuduga, anda membaca doa supaya segala perkataan dan ucapan anda lancar dan difahami oleh penemuduga.

Dapatkan juga doa daripada ibu bapa anda sekiranya mereka masih ada kerana restu ibu bapa adalah doa yang terbaik.

Itulah 7 tips menghadiri temuduga yang perlu dipatuhi untuk memastikan anda dalam keadaan yang terbaik untuk sesi temuduga yang akan dihadiri.

Be the first to comment

Leave a Reply